fbpx

Iqin suka hiking, tak minat lelaki kedekut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IQIN mengalami kerugian RM50,000 selepas perniagaannya rugi akibat Covid-19.

Minat dalam bidang solekan titik tolak buat gadis Pesona Ahad, Nuriqin Lydeana Saidi, 30, menceburi bidang perniagaan.

Bagaimanapun kejayaannya meraih keuntungan RM20,000 sebulan berkecai apabila barangan kosmetiknya tidak laku selain terpaksa dibuang menyebabkan gadis kelahiran Sandakan, Sabah ini menanggung kerugian mencecah RM50,000.

Namun tidak mahu terus mera­tapi kegagalan itu, Nuriqin Lydeana bangkit menceburi bidang peragaan dan menjadi pempengaruh atau influencer.

Kepada Kosmo! Ahad, anak sulung lebih mesra dipanggil Iqin ini berkongsi rasa mengenai perjalanan hidupnya.

Kosmo! Ahad: Serba sedikit mengenai Iqin?

Iqin: Saya mempunyai tujuh beradik dan dari kecil memang suka bersolek. Kekangan kewangan menyebabkan saya tidak me­nyambung pengajian sebaliknya bekerja demi adik-adik.

Iqin kumpul duit dengan be­kerja separuh masa di beberapa tempat seperti farmasi, hotel dan butik sebelum menjual barangan kosmetik.

Namun langit tidak selalunya cerah apabila Iqin yang mampu tersenyum lebar dengan pendapatan mencecah RM20,000 sebulan diduga kerana barangan tidak laku apabila negara dilanda Covid-19 sehingga menyebabkan kerugian RM50,000.

Bagaimana bermulanya menjadi pempengaruh?

Semuanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila media sosial medium utama orang ramai berkomunikasi. Sejak itu Iqin ambil peluang memuat naik pelbagai video solekan dan tidak sangka mendapat ba­nyak pengikut dan mula menjadi perhatian ramai pihak.

IQIN kini menjadi seorang pempengaruh media sosial sepenuh masa.

Cabaran seorang pempe­ngaruh?

Tidak semudah yang di­sangka, Iqin sering terima komen negatif, mesej berbaur lucah dan pelbagai gangguan. Cara saya kekal positif dengan tidak me­layan mesej-mesej tersebut dan teruskan hidup seperti biasa.

Saya juga pernah menerima beberapa tawaran untuk saya mendedahkan aurat, tetapi Iqin tolak kerana berpegang pada prinsip menjaga aurat walaupun atas dasar berfesyen.

Aktiviti masa lapang?

Iqin suka dengan alam, selalu menyertai program hiking kerana boleh melihat pemandangan luas, penuh kehijauan. Gunung pertama adalah Gunung Datuk, Negeri Sembilan dan diikuti de­ngan beberapa bukit di sekitar Se­langor dan Perak.

Iqin dalam masa 10 tahun lagi?

Bagi Iqin, perasaan ingin sambung belajar itu ada, tetapi jiwa saya lebih kuat untuk menjadi seorang usahawan. Jadi saya nampak diri saya dalam masa 10 tahun lagi sebagai seorang usahawan barangan kosmetik dan kecantikan, yang mempunyai jenama dan kedai sendiri.

Pasangan hidup impian Iqin?

Rupa paras itu bonus, tetapi keutamaan saya, dia bukan panas baran, kedekut dan kaki perempuan serta tidak merokok.

Soal hantaran, bagi saya, biarlah mengikut kemampuan lelaki itu, cukup hanya dengan majlis nikah sederhana sahaja pun, saya sudah bersyukur.

Pengajaran bermakna dalam hidup?

Saya pernah beberapa kali ditipu dalam perniagaan, lebih-lebih lagi dengan rakan kongsi. Pengajarannya, jangan mudah percaya pada orang. Percaya dengan bakat sendiri, dan usaha sehingga berjaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI