BAGAN SERAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot kenka di Tanjung Piandang di sini kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, bot itu ditahan di kedudukan 0.8 batu nautika barat daya Tanjung Piandang.
Menurutnya, semasa pihaknya melakukan rondaan rutin di perairan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang, mereka mengesan bot itu bergerak dalam keadaan mencurigakan lalu ia dirapati untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga kru nelayan tempatan termasuk tekong berumur di antara 50 hingga 71 tahun di atas bot.
“Pemeriksaan ke atas dokumen mendapati bot terbabit memiliki lesen yang sah namun pemilik asal bot tidak mengusahakan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Najhan berkata, selain itu, sebanyak 200 kilogram hasil ikan campur turut ditemui semasa pemeriksaan.
“Kesemua kru, bot nelayan, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik asal tidak mengusahakan sendiri bot,” katanya.
Sebarang aduan dan kecemasan, orang ramai boleh melaporkan kepada APMM di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) untuk tindakan. – KOSMO! ONLINE