PELUMBA ONEXOX TKKR Racing Team, Akid Aziz mencuri tumpuan apabila berjaya mengungguli penutup Kejuaraan Malaysia Cub Prix di Batu Kawan, di sini hari ini.
Bermula perlahan, Akid yang dicabar pemenang keseluruhan Kategori Perdana Cup Prix, CP150 iaitu Ahmad Afif Amran dari pasukan Yamaha CKJ Racing, kemudian bangkit untuk menguasai perlumbaan hingga menuju ke garisan penamat.
Tempat kedua bagi ketegori tersebut menjadi milik pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar manakala Kasma Daniel Kasmayudin dari Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
Ahmad Afif yang bermula agak garang bagaimanapun gagal menaiki podium selepas terjatuh pada pertengahan perlumbaan.
Menurut Akid, dia sememangnya meletakkan sasaran untuk menjuarai pusingan ke-10 di Batu Kawan itu sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan kejayaan penutup ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya pasukan saya.
“Walaupun saya sendiri merasakan permulaan saya agak goyah, namun, saya bersemangat untuk berlumba hingga tamat saingan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.
Hadir menyaksikan kejohanan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow.
Sementara itu, Shafiq Rasol yang baharu dinobatkan sebagai juara CP125 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) awal bulan lalu sekadar menamatkan saingan di tempat kedua pada pusingan terakhir ini.- KOSMO! ONLINE