KECENDERUNGAN memuat naik kandungan media sosial, khususnya TikTok seiring senario semasa menyebabkan pelakon Aeril Zafrel diberi jolokan ‘CEO TikTok’ oleh netizen.
Mudah mencuri tumpuan, namun tidak semua kandungan yang dilakukannya disukai netizen. Pernah sebelum ini Aeril atau nama lengkapnya Suhairil Sunari, 34, menerima kritikan hebat selepas dituduh tidak menjaga sensitiviti orang lain.
Semuanya gara-gara Aeril bersama isterinya iaitu pelakon dan juga usahawan, Wawa Zainal menjadikan kisah tragis kematian aktres Thailand, Tangmo Nida sebagai bahan gurauan.
Dalam sebuah video yang dimuat naik menerusi TikTok miliknya, Aeril bersama Wawa yang ketika itu sedang bercuti di Thailand menaiki sebuah sampan menyusuri sebatang sungai.
Aeril kemudian berpura-pura menolak Wawa ke dalam sungai, merujuk kejadian malang yang menimpa Tangmo apabila kematiannya berpunca kerana jatuh dari bot.
Perkongsian Aeril, 34, nyata tidak disenangi netizen yang melabelkan ‘jenaka’ menggunakan kematian seseorang sebagai ‘content’ langsung tidak kelakar.
Suka menyakat
Bercerita kepada Pose, Aeril mengakui tidak boleh memuaskan dan memaksa semua orang menyukai dirinya. Bahkan, dia sendiri tidak gemar ‘bersikap’ serius kerana itu bukanlah sifatnya.
“Saya tidak boleh puaskan hati manusia dan buat orang untuk sukakan kita. Orang pun tahu saya bukan seorang yang serius.
“Saya gemar menyakat orang lain dan suka buat lawak. Saya pun tak faham sebenarnya kenapa orang nak marah dengan saya,” katanya.
Apa yang dilakukan dalam TikTok jelas Aeril sekadar mengikut trend bagi meraih rating dan menaikkan jumlah tontonan dalam akaunnya.
“Saya kena ikut trend seperti apa yang orang lain buat. Saya percaya bahawa saya bukan satu-satunya artis yang berbuat begitu. Jadi tidak pelik pun sebenarnya,” ujar Aeril.
Menyentuh sedikit tentang perkembangan semasa selepas Malaysia baru sahaja menyaksikan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang ke-10 pada minggu lalu, Aeril berkata, dia tidak mempunyai masalah tentang siapa yang menjadi pemimpin negara.
Asalkan tahu tanggungjawabnya sebagai pemimpin.
“Sesiapa sahaja yang jadi Perdana Menteri, saya harap beliau dapat tingkatkan ekonomi dan perpaduan rakyat di negara ini.
“Kita tidak pernah berada bawah pemerintahan beliau (Anwar Ibrahim) dan kita tidak boleh hakiminya terlalu awal.
“Saya harap beliau dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya lagi.