fbpx

Tourism Malaysia promosi pakej pelancongan kopi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainuddin (dua dari kanan) melihat demonstrasi penyediaan kopi di Think City, Seberang Perai semalam.

SEBERANG PERAI – Tourism Malaysia menyasarkan kira-kira 300 pakej Northern Malaysia Coffee Experience dapat dijual di seluruh negara bagi mempromosikan industri kopi melalui kedai kopi, kafe dan rawatan spa berasaskan kopi di negeri-negeri Wilayah Utara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata, pakej meliputi beberapa destinasi di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak yang mula dijual hari ini sehingga 1 Jun 2023 itu dijangka mencatatkan pulangan kira-kira RM100,000.

Jelasnya, pakej berkenaan berpotensi dipromosikan selaras dengan Dasar Pelancongan Negara yang memfokuskan kepada peningkatan pengalaman pelancong susulan trend terkini terutamanya untuk golongan ‘millennial‘ yang menjadikan aktiviti bersantai di kedai kopi atau kafe sebagai salah satu gaya hidup.

“Pakej yang ditawarkan selama sehari, dua hari satu malam dan tiga hari dua malam ini bermula serendah RM95 seorang, malah pelancong domestik dan antarabangsa berpeluang mendapat diskaun sebanyak 10 peratus daripada tawaran harga asal selain urutan spa berasaskan kopi di pusat spa terpilih.

“Antara aktiviti yang ditawarkan ialah lawatan ke Kilang Kopi Antong di Taping, Perak, lawatan tapak semaian benih kopi di KEDA Agrobiz di Sik, Kedah, merasai pengalaman kopi dalam suasana kampung di Rumah Kupi, Kangar, Perlis serta bersantai di kubu bersejarah Fort Cornwallis di Pulau Pinang.

“Segmen gastronomi dan spa yang digabungkan ini berupaya menarik lebih ramai pelancong yang meminati kopi ke negara ini,” katanya selepas perasmian program di Think City di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan meneruskan usaha dalam merancakkan industri pelancongan seiring dengan peralihan kepada endemik selepas negara dilanda wabak Covid-19 dua tahun lalu.

Katanya, sasaran baharu lebih tertumpu kepada pasaran spesifik yang dijangka akan menjadi tumpuan utama untuk meningkatkan kemasukan pelancong asing ke negara ini.

“Dalam mengambil kira cabaran kemelesetan ekonomi yang dijangka melanda tahun depan, kami akan terus berusaha untuk memastikan industri pelancongan terus mendapat sambutan menggalakkan.

“Walaupun sudah penghujung tahun, kita dapat lihat ramai pelancong luar, terutamanya warganegara China banyak mengunjungi negara kita selain pertambahan penerbangan antarabangsa sejak sempadan negara kembali dibuka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI