PETALING JAYA – Separuh jalan terjejas serta sebuah tiang elektrik dihempap pokok ekoran kejadian tanah runtuh berhampiran sebuah kuil di Jalan 5/64 Seksyen 5, di sini, malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu sekitar pukul 10.14 malam.
Katanya, seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Petaling Jaya sampai ke lokasi kejadian enam minit selepas menerima panggilan itu.
“Laporan awal mendapati tanah cerun ketinggian 90 meter telah runtuh dan menutup separuh jalan menghala ke kuil serta menghempap tiang elektrik berhampirannya.
“Jarak runtuhan adalah 100 meter berhampiran kuil namun tidak menjejaskan struktur bangunan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Norazam, pihaknya sedang membuat pemantauan di lokasi kejadian yang turut dibantu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Sehingga kini tiada mangsa direkodkan dan situasi dalam keadaan terkawal,” katanya. – KOSMO ONLINE!