PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) telah pun berakhir dan kini masa untuk setiap anggota masyarakat terus mara ke hadapan sekali gus mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama mendepani cabaran hidup yang seterusnya.
Perlu diingat, Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih pentadbiran semasa negara masih dalam impak pandemik Covid-19.
Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengambil alih pentadbiran semasa dunia diramal akan mengalami kemelesetan ekonomi global tahun depan.
Justeru, usah menoleh ke belakang kerana masa tidak akan menunggu sedangkan pelbagai lagi perkara perlu kita tempuhi di hari-hari mendatang.
Segala cabaran itu jika masyarakatnya tempuhi secara bersama, bermuafakat dan bergandingan bahu pasti mampu untuk mendepaninya.
Seorang pengundi PRU15, Saiful Bahari Syariff, 38, menegaskan fahaman politik adalah tentang ideologi dan pendapat, tetapi pada akhirnya masyarakat tetap perlu hidup bersama serta saling bekerjasama.
“Buat apa berbalah sedangkan kita saling memerlukan. Politik tetap politik, tetapi perpaduan masyarakat yang penting,” katanya kepada Kosmo!.
Rakannya Mamat, 39, turut bersetuju bahawa tiada keperluan untuk mana-mana anggota masyarakat saling bermusuh kerana politik berikutan pemimpin akan tetap berpolitik sebab itu adalah kerjaya mereka.
“Namun, rakyat yang tidak berpolitik sewajarnya menyedari silaturahim paling utama. Adakah kita perlu terus bermasam muka hanya kerana apa yang dikatakan oleh orang politik sedangkan kita perlu menjaga diri kita sendiri.
“Eratkan kembali silaturahim. PRU15 telah berakhir. Jangan bermusuh-musuh antara kita lagi,” katanya.
Pensyarah Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin memberitahu, PRU15 telah dijayakan dengan penuh demokratik dan asbab terbentuknya pimpinan kerajaan hasil undian pada 19 November lalu.
“Kita tidak mendengar sebarang unsur-unsur penipuan dalam PRU kali ini, maka daripada sudut itu keputusan PRU15 adalah pengundian suara rakyat.
“Jadi kini masa untuk kita semua fokus kepada pembangunan diri, masyarakat dan negara kita. Eratkan semula silaturahim.
“Sebab kita bercakap sebagai rakyat Malaysia. Kena ingat balik semua yang terjadi (keputusan PRU15) adalah dalam proses demokrasi,” katanya.
Beliau mengakui dalam aspek psikologi tentu ada yang berasa kecewa untuk parti atau pimpinan politik yang mereka sokong.
Ujar beliau, pengharapan tinggi tidak kesampaian boleh bertukar menjadi kecewa dan tekanan seterusnya mengundang kepada tingkah laku melampau.
“Setiap kita perlu mencapai tahap penerimaan, tetapi untuk mencapainya kadangkala mengambil masa.
“Namun, jika kita mengerti bahawa dalam hidup ini ada hubungan antara manusia yang perlu di jaga, kita boleh ‘move-on’ dengan kehidupan seharian,” katanya.