fbpx

Suami isteri dicekup bawa syabu RM9.5 juta dalam Alza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (dua kiri) menunjukkan bungkusan teh cina berisi dadah jenis syabu seberat 246 kg yang dirampas selepas menahan sepasang suami isteri di Batu Jong, Kuala Krai semalam.

KUALA KRAI – Sepasang suami isteri yang dipercayai bertindak sebagai transporter ditahan bersama dua anak mereka semasa membawa sebanyak 246 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM9.5 juta menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan Eco Park, Batu Jong di sini semalam.

Suspek pertama yang berusia 26 tahun bersama isterinya 28 tahun selain dua anak berusia empat tahun dan lapan bulan dicekup kira-kira pukul 8 pagi semasa menaiki MPV jenis Perodua Alza.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota polis melihat MPV tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk menjalankan pemeriksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada tempat duduk penumpang belakang kenderaan tersebut telah menjumpai sebanyak 11 guni putih mengandungi bungkusan teh cina.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, setiap guni berisi 24 bungkusan dadah jenis syabu dengan anggaran keseluruhannya 246 kg yang bernilai RM9.5 juta.

“Berdasarkan siasatan, lelaki itu mengaku sudah enam kali menjadi transporter membawa dadah bersama isterinya. Dia juga mengaku membawa dua orang anaknya itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, kedua-dua pasangan itu juga dipercayai memperoleh upah sebanyak RM5,000 untuk setiap perjalanan membawa dadah.

Katanya, siasatan mendapati, kesemua dadah-dadah itu dibawa dari Thailand dan akan mereka membawanya dari Kelantan ke Lembah Klang.

“Selain dadah, kita turut merampas wang tunai sebanyak RM8,899 dan 200 Bath bersama suspek.

“Kesemua dadah yang dirampas dipercayai akan dijual di pasaran sekitar Lembah Klang ia ia boleh dibekalkan kepada seramai lebih 2.6 juta orang penagih dadah,” katanya.

Menurut Muhamad Zaki, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI