DOHA – Pengurus Belanda, Louis Van Gaal memberi peringatan kepada pemainnya bahawa Amerika Syarikat mampu mengejutkan mereka pada aksi 16 pasukan terbaik di Stadium Khalifa malam ini.
Biarpun Belanda kekal tanpa kalah dalam tiga aksi kumpulan, manakala Amerika Syarikat hanya mampu menjaringkan dua gol setakat ini, Van Gaal merasakan lawannya itu masih memiliki kualiti untuk mencatatkan keputusan baik seperti ketika mereka
mengikat England tanpa jaringan.
Trio tengah skuad AS, Yunus Musah, Tyler Adams dan Weston McKennie menjadi antara pemain yang menarik perhatian Van Gaal apabila merasakan ketiga-tiganya miliki kualiti untuk membantu Amerika Syarikat.
“Saya cukup berpengalaman ketika menentang negara seperti Amerika Syarikat dan Australia. Apabila menentang pasukan seperti ini, ia pastinya akan beri tugas yang cukup sukar kepada kami.
“Mereka bermain dengan cukup fanatik, mampu mengawal bola dengan baik dan menyerlahkan kemahuan tinggi,” katanya.
Dalam masa sama, Van Gaal juga mengharapkan Memphis Depay yang mengalami kecederaan hamstring dapat kembali cergas untuk memperkuatkan pasukan pada pertemuan dengan Amerika Syarikat.
“Saya sudah cergas. Aksi di pusingan kalah mati adalah perhitungan yang lebih serius dan kami pastinya tidak mahu alami kekecewaan.
“Mungkin ada orang menganggap ia adalah tugas mudah tetapi ia akan sentiasa menjanjikan sesuatu yang berbeza,” kata Depay. – AGENSI