REMBAU – Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut apabila kenderaan yang dinaikinya terlibat dalam nahas bersama sebuah lori muatan diesel di simpang empat Jalan Tampin Kanan di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam, Mohd. Syah Mohd. Nor 54, yang beralamat di Jalan Telok Berembang, Lubok China, Melaka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan iaitu lori jenis Hino muatan minyak diesel sebanyak 30,000 liter dan kereta Proton Iswara yang dinaiki mangsa.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori dalam perjalanan dari Pedas menghala ke Linggi melanggar kereta dinaiki mangsa yang keluar dari arah simpang Tampin Kanan tanpa berhenti.
“Sehubungan itu, pemandu lori yang tidak dapat mengelak lalu terlanggar sisi kiri kereta menyebabkan pemandunya cedera parah pada bahagian leher manakala penumpang meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa telah di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau bagi proses bedah siasat dan pemandu lori itu berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE