SHAH ALAM – Tambang bas sekolah perlu dibayar penuh walaupun hari bersekolah cuma sehari berdasarkan persetujuan antara pelanggan dengan pengusaha bas sekolah.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor Putrajaya Dan Kuala Lumpur (PSSPKL), Mohd. Haron Mohd.Sidik berkata, ini bagi memastikan kebajikan pemandu dengan gaji mereka dibayar penuh pada bulan tersebut bagi saraan hidup mereka.
“Pengusaha dan pemandu juga perlu duit tambang ini untuk urusan keperluan kehidupan mereka.
“Takkan sebulan itu pengusaha tidak perlu makan minum dan membayar ansuran pinjaman mereka.
“Sekiranya tambang tidak dibayar, kemungkinan besar mereka akan bertukar kerja. Bila buka sekolah, mungkin anak anda tidak dapat diambil lagi kerana kekurangan pekerja,” katanya dalam kenyataan semalam.
Berita berkaitan: Rugi bayar sebulan, sekolah tujuh hari
Berita berkaitan: Syarat sudah setuju, bayar sahaja
Kosmo! semalam melaporkan, kegembiraan untuk menantikan cuti panjang yang bakal bermula tidak lama lagi sedikit terganggu apabila ibu bapa masih perlu menjelaskan bayaran penuh bas sekolah walaupun sesi persekolahan hanya berlangsung kira-kira seminggu pada bulan ini.
Menurut ibu bapa, situasi tersebut dirasakan tidak adil lebih-lebih lagi apabila ada dalam kalangan mereka yang diminta membuat pembayaran penuh sebelum 3 Disember.
Jelas Mohd. Harun, pengusaha tidak mendapat bonus gaji atau sebarang bantuan kewangan dari mana-mana pihak untuk menampung kehidupan mereka seperti dikecapi kakitangan kerajaan dan swasta.
Tambahnya, para pengusaha juga perlu membayar pinjaman bank atau kredit pada bulan-bulan tersebut.
“Jika gagal membayarnya, denda akan dikenakan. Mereka (bank dan syarikat pemberi kredit) tidak mahu mendengar alasan sekolah bercuti dan sebagainya.
“Selain itu, ia turut melibatkan caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) pada bulan tersebut. Jadi, ini semua berkait dengan kebajikan para pengusaha dan pemandu bas,” ujarnya.