PETALING JAYA – Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan, pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah adalah amanah dan bukan ghanimah atau harta rampasan perang.
Beliau berkata, ia adalah satu taklif iaitu tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan.
“Saya dengan rendah hati bersyukur kepada Allah di atas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi.
“Terima kasih di atas kepercayaan Perdana Menteri kepada saya dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) untuk berada dalam Kabinet,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan yang terbentuk ini mampu menangani cabaran-cabaran perlu ditempuhi demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya.
“Namun dengan syarat semua pihak haruslah menghentikan provokasi dan tindakan untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat. Usah diganggu ketenteraman dan perpaduan masyarakat serta usaha kerajaan untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara selepas ini.
“Mari kita bersama sebagai rakyat Malaysia bermuafakat demi masa depan Malaysia yang lebih baik buat semua.
“Tahniah diucapkan kepada semua yang telah terpilih dan semoga gandingan semua pihak ini akan menghasilkan kejayaan luar biasa kepada negara. Kita hentikan ketidakstabilan politik yang telah banyak merosakkan serta merencatkan kemakmuran Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE