GENEVA, Switzerland – Bencana alam semula jadi dan bencana buatan manusia mengakibatkan kerugian ekonomi AS$268 bilion (RM1.17 trilion) sepanjang tahun ini, terutamanya disebabkan oleh Taufan Ian dan malapetaka akibat cuaca ekstrem, kata firma Swiss Re kelmarin.
Kerugian yang diinsurans pula berjumlah AS$122 bilion (RM536.80 bilion) atau kurang separuh daripada kerugian ekonomi keseluruhan yang berlaku pada tahun ini, kata syarikat berpangkalan di Zurich itu yang merupakan penanggung insurans kepada syarikat insurans.
“Taufan Ian dan peristiwa cuaca ekstrem lain seperti ribut musim sejuk di Eropah, banjir di Australia serta Afrika Selatan, di samping ribut air batu di Perancis dan Amerika Syarikat (AS), menyumbang kepada kerugian akibat bencana alam semula jadi yang diisurans berjumlah sekitar AS$115 bilion (RM506 bilion),” kata Swiss Re dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kos yang diinsurans akibat bencana buatan manusia pula sebanyak AS$7 bilion (RM30.8 bilion).
Tahun 2022 merupakan tahun kedua berturut-turut kos keseluruhan akibat bencana alam yang diinsurans melebihi AS$100 bilion (RM440 bilion), dengan angka itu mencecah AS$121 bilion (RM532.4 bilion) tahun lalu.
“Urbanisasi, pengumpulan kekayaan di kawasan yang cenderung ditimpa bencana, inflasi dan perubahan iklim merupakan faktor penyumbang utama.
“Apabila Taufan Andrew membadai 30 tahun lalu, kerugian berjumlah AS$20 bilion (RM88 bilion) tidak pernah berlaku sebelum itu. Namun, kini sebanyak enam taufan kategori itu melanda dalam tempoh enam tahun,” kata ketua bencana Swiss Re, Martin Bertogg.
Menurutnya, Taufan Ian merupakan bencana yang menyebabkan kerugian terbesar tahun ini dengan anggaran kerugian diinsurans antara AS$50 bilion (RM220 bilion) hingga AS$65 bilion (RM286 bilion).
Firma Swiss Re menganggarkan Taufan Ian mengakibatkan kerugian diinsurans kedua terbesar dalam sejarah selepas Taufan Katrina membadai AS dalam tahun 2005.
Daripada anggaran kerugian ekonomi akibat kerosakan harta benda berjumlah AS$268 bilion (RM1.17 trilion) sepanjang tahun ini, sebanyak AS$260 bilion (RM1.14 trilion) disebabkan oleh bencana alam semula jadi, manakala AS$8 bilion (RM35.2 bilion) lagi berpunca daripada perbuatan manusia seperti kemalangan industri. – AFP