KUALA LUMPUR – Hasrat skuad hoki lelaki negara untuk melangkah ke pentas final edisi pertama Piala Negara-Negara FIH gagal menjadi kenyataan.
Ia susulan kekalahan 0-3 kepada Ireland pada aksi separuh akhir yang berlangsung di University of North West di Potchefstroom, Afrika Selatan sebentar tadi.
Antara faktor utama kekalahan Malaysian Tigers yang berada di ranking ke-10 dunia itu mungkin disebabkan melepaskan dua gol pantas dalam tempoh dua minit kepada Ireland pada aksi tersebut.
Dua gol itu dijaringkan Benjamin Walker dan Jeremy Duncan pada minit ke-41 serta 43 sebelum Duncan meledak gol ketiga Ireland ketika aksi berbaki lapan lagi untuk tamat.
Kekalahan itu djangka tidak menjejaskan moral dan motivasi para pemain yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak awal bulan ini.
Begitupun, skuad bimbingan Arul Selvaraj berpeluang menebus kekalahan tersebut dengan meraih tempat ketiga dalam penentuan tempat ketiga dan keempat malam esok. – KOSMO! ONLINE