JAMESTOWN – Seekor kura-kura tertua di dunia yang berusia 190 tahun kini tinggal di Pulau St Helena, Lautan Atlantik Selatan dan pencapaian umur itu diraikan selama tiga hari bermula semalam, lapor akhbar MailOnline.
Haiwan gergasi yang terkenal dengan panggilan Jonathan the Seychelles itu tinggal di pulau tersebut sejak tahun 1882 dan secara rasmi dinamakan sebagai kura-kura tertua di dunia serta menetas dari sebiji telur pada era pemerintahan Georgian.
Ia merupakan haiwan darat tertua yang diketahui masih hidup di bumi.
Ukuran cangkerang yang didokumenkan daripada gambar yang dirakamkan sejurus selepas ketibaannya ke Pulau St Helena menunjukkan ia sudah matang sepenuhnya dan sekurang-kurangnya berumur 50 tahun ketika tiba dari Pulau Seychelles.
Seorang pesara veterinar yang dikenali sebagai Hollins berkata: “Apabila anda fikir, jika ia menetas pada tahun 1832 pada era Georgian iaitu ketika berlakunya perubahan di dunia.
“Perang dunia, kebangkitan dan kejatuhan Empayar British, ramai gabenor, raja dan permaisuri yang telah berlalu. Ia agak luar biasa.
Pada awal tahun 2022, Jonathan mendapat gelaran Guinness World Records untuk kategori haiwan darat tertua di dunia dan pada bulan ini, ia juga telah dinamakan sebagai kura-kura tertua pernah hidup.
Jonathan telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya di salah sebuah pulau paling terpencil di dunia.
Ia tinggal di kawasan Plantation House bersama tiga ekor kura-kura yang jauh lebih muda daripadanya dan sambutan bagi meraikan umur haiwan tersebut diadakan selama tiga hari di Rumah Gabenor St Helena. – Agensi