fbpx

Fahmi nasihat Muhyiddin henti fitnah Kerajaan Perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi (kiri) meminta Muhyiddin hentikan fitnah terhadap Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk di bawah pimpinan Anwar.

PETALING JAYA – Proses lantikan anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat secara musyawarah.

Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil malah menjelaskan, Kerajaan Perpaduan dibentuk mengikut titah nasihat Yang di-Pertuan Agong.

“Kerajaan ini bukanlah Kerajaan Pakatan Harapan di mana Perdana Menteri boleh melantik sesiapa yang dia ingini.

“Ini Kerajaan Perpaduan yang dibentuk secara bersama di mana dasar atau keputusan penting dibuat secara musyawarah termasuk dalam isu pelantikan Jemaah Menteri,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya hari ini.

Beliau membalas dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai barisan Kabinet yang dilantik adalah Kabinet kleptokrat dan ditubuhkan atas penipuan terhadap mandat rakyat serta tidak mempunyai sebarang keabsahan sebagai badan eksekutif tertinggi negara.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR, menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu adalah fitnah dan tuduhan yang keterlaluan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk.

“Sekiranya Muhyiddin tidak berpuas hati, janganlah marah atau melemparkan tohmahan kepada Perdana Menteri, kerana bukan Perdana Menteri yang menamakan calon-calon dari parti atau gabungan lain.

“Penting, saya tegaskan komitmen Perdana Menteri bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak akan sekali-kali mencampuri urusan kehakiman dalam mana-mana kes,” katanya.

Dalam masa sama, Fahmi meminta Muhyiddin menghentikan serangan polemik yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

“Penting untuk kita ingat bahawa Muhyiddin sendiri punyai banyak isu yang mungkin perlu diteliti dan ditelusuri kelak, termasuk isu 1BestariNet dan isu dana RM500 bilion yang dikatakan dibelanjakan sewaktu tempoh pandemik,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataannya, menyifatkan Anwar selaku Perdana Menteri menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti dijaja sepanjang kempen pilihan raya apabila melantik kleptokrat menganggotai Kabinet.

“Ini adalah barisan Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI