KLANG – Dua beranak terselamat apabila rumah mereka di atas air roboh dalam kejadian di Tanjung Harapan, malam ini.
Kedua-dua mangsa iaitu Emiliah Zakaria, 46 dan Norliyana Sambiri, 25, hanya mengalami cedera ringan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 10 malam.
Katanya, salah seorang mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“Seorang lagi mangsa pula dikeluarkan bomba setelah terperangkap dalam runtuhan kayu.
“Kedua-dua beranak itu kemudiannya di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE