fbpx

Cari kerja dalam talian, anak Hattan diperdaya scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HATTAN mengingatkan orang ramai supaya jangan taksub terhadap sebarang tawaran menarik menerusi telefon.

PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Hattan mengingatkan orang ramai terutama anak muda supaya jangan mudah percaya dengan tawaran pekerjaan atas talian yang menawarkan pelbagai kelebihan demi mengaburi mata.

Menurut pemilik nama sebenar Mohd. Shukri Shahabudin itu, anaknya, Adam Eiman, 24, menjadi mangsa terbaharu ‘scammer’ selepas memohon jawatan ditawarkan sebuah syarikat sehingga kehilangan wang simpanan di dalam bank.

“Saya sakit hati sangat. Sekarang ini anak-anak muda kena berhati-hati kalau mahu mencari kerja kerana ramai penyamun menyamar dalam media sosial.

“Jangan dilayan atau terpedaya dengan tawaran indah mereka. Semua itu penipu dan sekadar mahu mengaburi mata bakal mangsa.

“Saya kasihan dengan golongan muda yang cuba nasib cari kerja tetapi akhirnya ‘terkena’. Selepas pohon jawatan tiba-tiba diminta buat beberapa perkara dalam laman web.

“Sedar-sedar habis duit dalam akaun. Letih budak kumpul duit dan berjimat, kemudian kena ‘scam’ dengan syarikat penipu,” katanya yang sudah membuat laporan polis.

Sebagai Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), penyanyi Biso Bona itu mengakui terkejut apabila anaknya sendiri menjadi mangsa.

Katanya, sebagai langkah pencegahan dia meminta masyarakat jangan terlampau taksub menggunakan telefon apabila mudah percaya dengan segala perkara yang ditawarkan dalam talian.

Justeru Hattan menyarankan agar orang ramai kembali kepada kaedah mencari pekerjaan melalui proses biasa termasuk menghadiri temu duga secara fizikal.

“Apa-apa pun, sebelum berbuat sesuatu atau bersetuju dengan sebarang terma kita semua perlu membuat semakan teliti bagi mengelakkan terpedaya.

“Jangan main redah saja sebab saya difahamkan ramai sudah menjadi mangsa,” katanya yang berharap pihak berkuasa dapat menangkap dan memberikan hukuman tegas terhadap penipu siber.

Untuk info, Adam yang juga penyanyi dan komposer adalah anak tunggal Hattan dengan Datin Ariani Mohd. Abidin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI