KUALA LUMPUR – Seramai 27 Ahli Parlimen selesai mengangkat sumpah jawatan menteri Kabinet baharu berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini hari ini.
Turut berangkat pada istiadat yang bermula kira-kira pukul 3 petang itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Mengetuai istiadat tersebut adalah dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi.
Ia disusuli oleh 25 Menteri Kabinet baharu iaitu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu; Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; Menteri Sains Teknologi, Chang Lih Kang; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Perdangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Sumber Asli Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Turut mengangkat sumpah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Menteri Perpaduan Negara, Ago Anak Dagang; Menteri Agama, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar; Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suan; Menteri Sumber Manusia, Sivarkumar a/l Varatharaju Naidu; Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali.
Selain 25 lagi Menteri Kabinet yang mengangkat sumpah, istiadat tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani
Majlis istiadat tersebut berlangsung hampir sejam susulan pengumuman barisan Jemaah Menteri baharu oleh Anwar semalam.
Saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Anwar itu terdiri daripada 28 menteri termasuk dua Timbalan Perdana Menteri.
Kesemua mereka diumum sebagai ahli pentadbiran negara baharu oleh Anwar selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Seri Paduka pada 24 November lalu. – KOSMO! ONLINE