PENYANYI kumpulan IVE, Wonyoung memang terkenal kerana kecantikannya yang disifatkan sempurna oleh peminat.
Justeru, apa sahaja memek wajah dilakukan penyanyi tinggi lampai itu pasti menarik perhatian peminat yang memuji kecantikan dan kecomelannya.
Baru-baru ini ketika menerima anugerah Lagu Terbaik pada acara Melon Music Awards 2022, kesemua ahli IVE tidak dapat menahan air mata sewaktu memberi ucapan di atas pentas.
Cuma Wonyoung yang tidak menangis ketika itu dan dia dilihat sentiasa cuba menenangkan rakan-rakannya yang lain.
Pun begitu, sekembalinya ke tempat duduk, Wonyoung gagal menahan sebak dan matanya mula bergenang.
Peminat yang berjaya merakam momen tersebut berkata, Wonyoung kelihatan sangat cantik seperti bidadari meskipun ketika sedang menangis.
Foto tersebut kemudian pantas berlegar dalam kalangan peminat dan tular menerusi internet.