fbpx

Taman Bukit Berlian kawasan bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASRI (baju batik biru) melihat rekanan jalan di Taman Bukit Berlian, Seremban yang diisytiharkan kawasan bencana. FOTO : IHSAN MBS.

SEREMBAN – Runtuhan cerun di Taman Bukit Berlian di sini diisytiharkan sebagai kawasan bencana berikutan berlaku pergerakan tanah yang berisiko tinggi untuk menyebabkan runtuhan lebih besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sembilan, Datuk Razali Ab. Malik berkata, runtuhan cerun tersebut berpunca daripada aliran air luar biasa menyebabkan tanah menjadi lembut seterusnya berlaku pergerakan.

“Terdapat 12 buah rumah di Jalan Berlian 5, Taman Berlian dengan jumlah isi keluarga seramai 47 orang. Berdasarkan penilaian awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) rumah yang terlibat adalah berisiko dan tidak selamat untuk diduduki.

“Sebarang pergerakan keluar masuk tanpa autoriti adalah di bawah risiko masing-masing dan pihak berwajib tidak bertanggungjawab ke atas sebarang insiden yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Razali, semua penduduk terlibat telah bersetuju untuk keluar dari kediaman masing-masing sehingga siasatan lengkap dijalankan dan kerja-kerja baik pulih cerun selesai dilaksanakan.

Jelas beliau, hujan lebat pada sebelah petang dan pemantauan di tempat kejadian pada pukul 8 malam semalam mendapati, tanah semakin mendap dan rekahan telah menjadi lebih besar.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Seremban telah diaktifkan dan boleh dihubungi di talian 06-6011038.

“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) beroperasi di lokasi dan kawalan di tempat kejadian akan diuruskan mengikut mekanisme pengurusan bencana negara,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, buat masa sekarang pihak polis telah menutup kawasan tersebut untuk kerja-kerja baik pulih.

“MBS meminta warga bandar raya agar tidak menutup longkang bagi mengelakkan longkang tersumbat dan seterusnya menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh,” katanya yang turut melawat lokasi kejadian bersama pegawai MBS.

Semalam media melaporkan, tiga buah kereta menggelongsor dan terjatuh ke dalam cerun sedalam kira-kira 10 meter dalam kejadian tanah mendap dan runtuh di Taman Bukit Berlian di sini awal pagi semalam. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI