AMPANG – Insiden tanah runtuh dipercayai berpunca daripada saluran paip bawah tanah bocor telah dilaporkan berlaku di Jalan Mega 1/2K, Taman Mega Jaya, di sini, petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan bergegas ke lokasi kejadian dan tiba sekitar pukul 3 petang.
“Setibanya di lokasi kejadian, bomba mendapati kejadian tanah runtuh anggaran ketinggian 30 meter dipercayai berpunca dari paip bocor.
“Pihak berwajib dan Indah Water Konsortium (IWK) sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di lokasi.
“Pemantauan sekitar lokasi dilakukan dan terdapat sebuah rumah kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata, insiden tanah runtuh berkenaan tidak mengganggu struktur rumah tersebut dan tiada mangsa terlibat. – KOSMO! ONLINE.