PEKAN – Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak kepada Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah antara dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang hari ini.
Datuk Mohd Nizar Najib yang merupakan ADUN Peramu dan Leong Yu Man yang merupakan ADUN Triang merupakan antara muka baharu daripada 10 Exco yang mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddun Al-Mustafa Billah.
Mohd Nizar berkata, beliau bertekad untuk menggalas amanah yang diberi dengan sebaik mungkin bagi membangunkan negeri Pahang.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk menggalas amanah sebagai exco negeri Pahang.
“Saya berdoa kepada Allah agar saya dapat menjalankan tugas dengan baik, dengan amanah dan dapat membantu dalam pembangunan negeri,”katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu Yu Man berkata, ini merupakan satu lembaran baharu bukan sahaja bagi negeri Pahang tetapi dalam pembentukan kabinet Malaysia yang turut menyaksikan kerjasama antara BN dan PH.
Beliau yang bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik berharap kerajaan Perpaduan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ini dapat kekal dalam tempoh lima tahun ini.
“ini kali pertama saya rasa untuk Kerajaan Perpaduan di Pahang dan kita perlu membawa kebaikan dan memperbaiki kehidupan dan sosio ekonomi.
“Fokus utama adalah seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu kita perlu membantu rakyat daripada masalah utama mereka hadapi sekarang iaitu masalah ekonomi,”katanya.
Hari ini 10 ADUN daripada BN dan PH mengangkat sumpah jawatan sebagai exco di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Balai Rung Seri Istana Abu Bakar di sini.
ADUN BN daripada UMNO yang mengangkat sumpah adalah ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd. Razak ; ADUN Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; ADUN Bebar, Datuk Mohamad Fakhruddin Mohd Ariff; ADUN Muadzam Shah, Ir. Razali Kassim; ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun; ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohd Nizar Najib; ADUN Dong, Fadzli Mohamad Kamal dan ADUN Guai, Datuk Sabariah Saidan.
Sementara itu dua ADUN daripada PH pula ialah ADUN Triang, Leong Yu Man dan ADUN Teruntum Sim Chon Siang yang masing-masing merupakan muka baharu. – KOSMO! ONLINE