fbpx

PRU15: 319 undi awal di Tioman, Padang Serai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Seramai 319 pengundi awal akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing esok di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, daripada jumlah itu, seramai 76 orang anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mereka di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim bermula pukul 8 pagi hingga 2 petang.

“Sementara itu, sejumlah 243 orang polis akan mengundi awal di bilik rehat Ibu Pejabat Polis Rompin dan bilik maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman antara pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Pengundi dinasihatkan membuat semakan maklumat pengundian melalui pautan ditetapkan iaitu di
https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, penandaan dakwat pilihan raya juga akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri bagi pengundi yang hadir pada hari mengundi awal.

“SPR turut menyarankan pengundi yang positif Covid-19 untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal.

“Proses pengundian awal tersebut turut disaksikan ejen-ejen calon bertanding selain SPR akan menyiarkan proses pengundia secara ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR di beberapa Pusat Mengundi Awal terpilih,” jelasnya.

Menurutnya juga, kertas undi awal tidak akan dibuat pengiraan pada hari itu dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat.

Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 7 Disember 2022 bermula 4 petang di tempat pengiraan undi ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen calon masing-masing. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI