IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan mengumumkan barisan Kabinet kerajaan perpaduan pimpinannya pada lewat petang ini.
Menurutnya, beliau telah beberapa kali berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan supaya barisan Jemaah Menteri dapat diatur segera.
“Yang layak ini ratusan orang, yang dapat dipilih itu terbatas kerana seperti saya sebut sebelum ini, kita tidak mahu terlalu ramai menteri kerana nak menjimatkan wang negara.
“Jadi sebab itu saya telah ambil keputusan persembahkan kepada Tuanku dan insya-Allah saya akan umumkan barisan Jemaah Menteri lewat petang ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada program Kenduri Rakyat di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE