PETALING JAYA – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, beliau berharap pengumuman mengenai pembentukan Kabinet dapat dilakukan dalam masa beberapa hari lagi.
“Kita terpaksa bergegas menyelesaikan masalah dengan semua komponen parti kerana kita harus segerakan untuk membentuk barisan jemaah menteri supaya diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan dapat kita umumkan, kalau boleh, dalam masa dua, tiga hari ini. Insya-Allah.
“Setakat ini hampir seluruhnya sudah hampir beres dan saya akan cerakin, berkemaskini.
“Lepas cerakin kita telusi, meneliti, dan menelaah,” katanya pada majlis perhimpunan bersama aktivis Reformasi yang disiarkan di laman Facebooknya malam tadi.
Anwar menjelaskan hampir keseluruhan barisan Kabinetnya sedang dimuktamadkan dan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada pukul 8 pagi nanti.
Selepas itu, Perdana Menteri akan bergerak ke Perak bagi menghadiri majlis kenduri rakyat di Ipoh, Perak pagi nanti.
Anwar juga dilaporkan berkata akan mencadangkan agar gaji menteri dikurangkan susulan iklim ekonomi negara yang tidak menentu dan dengan rakyat jelata yang berdepan kesukaran. – KOSMO! ONLINE