DOHA – Brazil cuba melakukan apa yang termampu bagi memastikan pemain bintang, Neymar kembali beraksi pada Piala Dunia 2022 selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menang 2-0 ke atas Serbia.
Selepas memastikan tempat ke pusingan kalah mati, Selecao kini mengalih tumpuan dalam usaha mereka memastikan Neymar pulih sepenuhnya dan kembali berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Difahamkan, pasukan perubatan Brazil menerapkan rawatan istimewa dengan menempatkan Neymar dalam bilik cryotherapy yang menggunakan suhu sejuk ekstrem bagi mengurangkan bengkak pada kakinya.
“Saya percaya Neymar dan Danilo akan kembali beraksi pada Piala Dunia kali ini kerana saya sentiasa pantau perkembangan mereka setiap hari. Pasukan perubatan juga sentiasa memberikan laporan mengenai keadaan mereka.
“Maklumat yang saya terima kedua-dua pemain menunjukkan perkembangan positif dan berpeluang cerah untuk kembali bermain.
Mengenai Neymar, saya salahkan diri sendiri kerana tidak perasan dia mengalami kecederaan,” kata Ketua Jurulatih Brazil, Tite.
Sementara itu, pemain sayap, Antony menganggap penggunaan pendingin hawa di dalam stadium sebagai punca beberapa pemain Brazil dilaporkan mengalami masalah kesihatan seperti demam dan selesema.
“Saya berdepan situasi kurang menyenangkan dalam beberapa hari kerana tidak sihat sepenuhnya. Kami mengalami sakit tekak dan demam, mungkin disebabkan penggunaan pendingin hawa dalam stadium,” ujar pemain Manchester United itu.
– AGENSI