DOHA – Mexico terpaksa menanggung kekecewaan apabila mereka tersingkir di pentas Piala Dunia Qatar 2022 menerusi perbezaan gol meskipun berjaya menewaskan Arab Saudi 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan C awal pagi semalam.
Ketua Jurulatih Mexico, Gerardo Martino terpaksa akur untuk membawa pasukannya pulang lebih awal meskipun meletakkan sasaran untuk ke peringkat kalah mati dalam kempen Piala Dunia 2022.
Dua jaringan babak kedua menerusi Henry Martin dan Luis Chavez mengesahkan kemenangan Mexico 2-1, namun jaringan tersebut tidak cukup untuk membawa skuad kendalian Martino melangkah ke pusingan 16 terbaik walaupun Poland tewas 0-2 menentang Argentina.
“Saya adalah orang yang bertanggungjawab atas kegagalan ini. Ini adalah kesedihan yang besar bagi saya dan juga pasukan. Saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab atas kegagalan besar ini.
“Sebab itu kami bekerja keras pada perlawanan ini untuk memastikan Mexico mencatat kemenangan dan mencerahkan peluang untuk ke pusingan seterusnya. Tetapi, sebaliknya berlaku,” kata Martino.
Hasil keputusan tersebut, ini merupakan kali pertama sejak 1978 Mexico gagal mara ke peringkat kalah mati di Piala Dunia.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Arab Saudi, Herve Renard akur dengan keputusan tersebut dan memuji ketangkasan penjaga golnya, Mohamed Al-Owais yang menyelamatkan pasukannya daripada kekalahan lebih besar.
“Kami mungkin tewas lebih teruk jika tidak kerana ketangkasan Al-Owais. Pentas Piala Dunia adalah perlawanan mencabar dan kami bersama pasukan terbaik dunia. Saya berbangga dengan pencapaian mereka semua,” kata Renard. – AGENSI