fbpx

Piala Dunia : Maghribi benam Kanada 2-1 di Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang Maghribi, Youssef En-Nesyri menjaringkan gol ketika berdepan Kanada pada aksi Piala Dunia 2022 di Stadium Al-Thumama, Doha. -AFP

DOHA – Maghribi melakar sejarah di pentas Piala Dunia 2022 apabila berjaya melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik buat kali pertama dalam tempoh 36 tahun sejak edisi 1986 di Mexico selepas membenam Kanada 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan F, sebentar tadi.

Pada saingan di Stadium Al Thumama tersebut, ribuan penyokong Maghribi meraikan kemenangan skuad The Atlas Lions selepas melihat pasukan ranking ke 22 dunia itu menutup tirai aksi peringkat kumpulan dengan kemenangan bergaya.

Maghribi yang turun misi wajib menang jelas menggunakan kelebihan yang ada pada bintang sensasinya, Hakim Ziyech apabila berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-4 selepas bijak mengambil peluang atas kesilapan penjaga gol Kanada, Milan Borjan yang gagal mengeluarkan bola lebih awal.

Kanada yang terdesak mencari kemenangan sulung mereka di pentas Piala Dunia terus dihukum apabila penyerang Sevilla, Youssef En-Nesyri menjaringkan gol kedua buat Maghribi pada minit ke-23 perlawanan tersebut.

Pemain Maghribi meraikan kemenangan mereka bersama penyokong selepas mengesahkan tempat ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2022, -AFP

Ketika Maghribi ‘bernafsu’ mencari gol ketiga, Kanada berjaya bangkit menjaringkan gol sulung mereka selepas rembatan kencang Sam Adekugbe tertampan kaki Nayef Aguerd sebelum menerjah ke gawang gol.

Tersentak dengan keadaan tersebut, Maghribi melakukan serangan balas dan hampir menjaringkan gol ketiga mereka, namun jaringan Youssef En-Nesyri terpaksa dibatalkan selepas salah seorang pemain Maghribi dikesan ofsaid. Keputusan 2-1 kekal pada separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Kanada hampir menjaringkan gol penyamaan mereka pada minit ke-71, namun tandukan Atiba Hutchinson hanya menerjah ke palang gol sekali gus menyelamatkan pintu gol Maghribi.

Meskipun kedua-dua pasukan membalas serang, namun kemenangan tetap menjadi milik pasukan Maghribi selepas mengakhir perawanan tersebut dengan keputusan 2-1. Hasil keputusan tersebut, Maghribi juara Kumpulan F hasil daripada dua kemenangan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI