AL KHOR – Peristiwa pahit yang dialami Jerman di Rusia empat tahun lalu kembali berulang apabila mereka tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2022 selepas menamatkan aksi Kumpulan E di tempat ketiga.
Meskipun mencatat kemenangan 4-2 ke atas Costa Rica pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Al Bayt sebentar tadi, namun ia masih belum cukup untuk memastikan skuad Die Mannschaft layak ke pusingan kalah mati.
Pada perlawanan itu, skuad Die Mannschaft turun dengan misi wajib menang bagi melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas mencatat satu kekalahan dan satu seri dalam dua aksi terdahulu.
Jerman berada dalam kelas tersendiri apabila menguasai sepenuhnya aksi separuh masa pertama dan berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Serge Gnabry yang menanduk masuk hantaran dilakukan David Raum.
Empat minit berselang, skuad kendalian Hansi Flick itu hampir menggandakan kedudukan, namun penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas lebih bersedia apabila menyelamatkan percubaan Leon Goretzka.
Ketika separuh masa pertama berbaki tiga minit, Costa Rica hampir menghukum kesilapan bek tengah Jerman, Antonio Rudiger, namun sepakan deras Keysher Fuller ditepis Manuel Neuer.
Memasuki separuh masa kedua, Costa Rica menampilkan aksi lebih kemas apabila berjaya membuatkan benteng pertahanan Jerman huru-hara menerusi serangan-serangan yang dilakukan.
Pada minit ke-57, Costa Rica berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Yeltsin Tejeda sebelum menggandakan kedudukan 12 minit kemudian menerusi pemain pertahanan, Juan Pablo Vargas.
Tersentak dengan gol tersebut, Flick kemudiannya melakukan beberapa perubahan taktikal termasuk mengeluarkan Thomas Muller dan Raum dengan memasukkan Kai Havertz dan Mario Gotze.
Keputusan Jerman memasukkan Havertz nyata membawa tuah apabila pemain Chelsea itu meledak dua gol dalam tempoh 10 minit bagi memastikan mereka kembali mendahului perlawanan 3-2.
Seorang lagi pemain gantian, Niclas Fullkrug kemudiannya melengkapkan kemenangan Jerman apabila menjaringkan gol keempat selepas menerima hantaran yang dilakukan pemain sayap, Leroy Sane.
Sementara itu, kekalahan Sepanyol kepada Jepun dalam satu lagi pertemuan turut memastikan perjalanan Jerman dan Costa Rica pada Piala Dunia kali ini berakhir di peringkat kumpulan. – KOSMO! ONLINE