DOHA – ‘Generasi emas’ skuad Belgium gagal menepati ramalan selepas terkandas di peringkat kumpulan sekadar meraih keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu satu lagi wakil Eropah, Croatia sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, skuad Belgium mempertaruhkan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan pemain-pemain seperti Liandro Trossard, Yannick Carrasco, Kevin de Bruyne dan Dries Mertens.
Pasukan Croatia hampir dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-18 susulan kekasaran Carrasco terhadap Andrej Kamaric tetapi dinafikan oleh video bantuan pengadil (VAR).
Belgium dilihat berusaha untuk mengancam kubu finalis Piala Dunia 2018 itu tetapi setiap percubaan yang dilakukan mudah dipatahkan.
Bersambung pada babak kedua, The Red Devils lebih tajam dengan kemasukan Romelu Lukaku yang tidak menunggu lama untuk menguji benteng Croatia tetapi tandukan pada minit ke-49 diselamatkan penjaga gol, Dominik Livakovic.
Croatia pula menyerang kubu Belgium dan kini giliran Matteo Kovacic pula tetapi Thibaut Courtois lebih bersedia untuk menepis percubaan tersebut berselang seminit kemudian.
Lukaku terus berusaha untuk menjadi ‘hero’ Belgium tetapi rembatan yang dilakukan pada minit ke-60 sekadar singgah ke palang gol dengan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kedudukan tersebut menyaksikan Belgium yang meraih tempat ketiga pada edisi Piala Dunia 2018 terkandas di peringkat Kumpulan F dengan Croatia dan Maghribi membuat kejutan mara ke pusingan 16 terbaik. – KOSMO! ONLINE