DOHA – Kapten Argentina, Lionel Messi percaya bahawa legenda mereka, Diego Maradona pastinya menjadi penyokong yang paling gembira selepas menyaksikan pasukan itu mara ke pusingan 16 pasukan terbaik kempen Piala Dunia Qatar 2022.
Awal pagi semalam menyaksikan Argentina mengesahkan tempat ke pusingan berikutnya selepas menundukkan Poland 2-0 selain menjadikan Messi pemain yang memiliki kap paling banyak di saingan Piala Dunia memintas pencapaian Maradona.
“Ia adalah satu kepuasan apabila Argentina dapat meneruskan pencapaian seperti ini. Saya fikir Diego akan menjadi individu paling gembira. Dia sangat gembira apabila apa yang saya lakukan berjalan dengan lancar,” kata Messi.
Bagaimanapun, Messi terlepas untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-39, namun dia mengakui gembira apabila rakan-rakan lain berjaya menjalankan tugas menjaringkan gol.
“Kami sudah mencapai objektif yang pertama, melepasi peringkat kumpulan selepas aksi permulaan yang sedikit mencacatkan prestasi kami di sini (tewas kepada Arab Saudi).
“Saya sangat kecewa kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti kerana saya tahu gol itu mampu mengubah perlawanan, ia membolehkan anda mempamerkan aksi berbeza. Namun, saya fikir kegagalan itu juga menyebabkan pasukan ini menjadi lebih kuat,” jelasnya.
Messi yang terdesak untuk memenangi Piala Dunia kali ini kerana dianggap peluang terakhir dalam kerjayanya untuk melengkapkan legasi sebagai bintang bola sepak dunia, percaya bahawa Argentina sudah berada pada momentum terbaik untuk melangkah lebih jauh.
Mereka dijadualkan turun menentang Australia pada pusingan 16 pasukan terbaik pada awal pagi Ahad ini untuk mencari tempat ke suku akhir. – AGENSI