fbpx

Penunjuk perasaan, polis bertempur di bandar Guangzhou

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DEMONSTRASI anti-Covid tercetus di bandar Guangzhou malam Selasa lepas dan berterusan hingga kelmarin. – MOTHERSHIP

BEIJING – Pertempuran tercetus antara polis dan penunjuk pera­saan di sebuah bandar di selatan China susulan gelombang demonstrasi di seluruh negara kerana membantah perintah berkurung Covid-19.

Badan keselamatan tertinggi China memberi amaran Selasa lepas bahawa pihak berkuasa akan melancarkan ‘operasi pembanterasan’. Siri protes itu adalah yang terbesar sejak perhimpunan demokrasi 1989 dipatahkan menggunakan kekerasan.

Demonstrasi tercetus  hujung minggu lalu di serata bandar utama termasuk Beijing dan Shanghai dengan pasukan keselamatan bergerak pantas untuk mengekang kekacauan seterusnya.

Bagaimanapun, pertempuran baharu berlaku di bandar Guangzhou, malam Selasa lalu dan berterusan hingga kelmarin, demikian menurut saksi-saksi dan siaran media sosial yang disahkan oleh agensi berita AFP.

Sebuah rakaman video memaparkan petugas-petugas kese­lamatan yang memakai sut hazmat dan berlindung di sebalik perisai lutsinar, bergerak di sebatang jalan di daerah Haizhu ketika kaca pecah berderai di sekeliling mereka.

Jeritan orang ramai kedengaran dalam rakaman video ber­kenaan. Orang ramai membaling objek ke arah polis, manakala selepas itu, hampir 12 lelaki diberkas dengan tangan mereka diikat menggunakan wayar.

Seorang penduduk Guangzhou dikenali sebagai Chen memberitahu AFP kelmarin bahawa dia melihat kira-kira 100 anggota polis menyerbu Kampung Houjiao di daerah Haizhu dan menangkap sekurang-kurangnya tiga lelaki malam Selasa lalu.

Sebilangan pelajar di beberapa universiti di  Guangzhou berkata, mereka diusir dari asrama ma­sing-masing kelmarin, demikian menurut hantaran di media sosial selepas semakin banyak universiti di serata China mengarahkan pelajar pulang ketika demonstrasi kampus semakin merebak.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken ketika ditanya mengenai protes di China dalam wawancara bersama saluran berita NBC News berkata, rakyat di semua negara perlu diberikan hak untuk meluahkan kekecewaan mereka menerusi bantahan aman.

“Di mana-mana negara di mana kita melihat perkara ini berlaku dan kemudian kita melihat pemerintah mengambil langkah menindas secara besar-besaran untuk menghentikannya, itu  bukan tanda kekuatan, itu tanda kelemahan,” kata Blinken.

Kemarahan terhadap dasar sifar Covid China yang melibatkan ‘mengurung’ sejumlah besar penduduk dan menjejaskan ekonomi menjadi pencetus kepada siri bantahan itu.

Kebakaran mengerikan pada minggu lalu di Urumqi yang merupakan  ibu negeri rantau Xinjiang, menjadi katalis kepada kemarahan rakyat dengan orang ramai menyalahkan sekatan koronavirus kerana menyebabkan mangsa terperangkap di dalam bangunan yang terbakar.

Bagaimanapun, penunjuk perasaan turut menuntut reformasi politik lebih meluas, bahkan sesetengan mereka mendesak Presiden Xi Jinping berundur.

Kawalan ketat China ke atas maklumat dan sekatan perjalanan berterusan mengakibatkan sukar untuk mengesahkan bila­ngan penunjuk perasaan yang keluar di daerah Haizhu.

Bagaimanapun, perhimpunan yang merebak seperti pada hujung minggu lalu itu sangat jarang berlaku di China.

Protes prodemokrasi 1989 berakhir dengan pertumpahan darah apabila pihak tentera campur tangan dengan yang paling terkenal adalah di Dataran Tiananmen dan kawasan sekitarnya di Beijing. 

Dalam perkembangan terba­haru, Beijing melonggarkan bebe­rapa sekatan selepas kemarahan rakyat terhadap kawalan pandemik paling ketat di dunia itu mencetuskan protes di bandar-bandar utama di China. 

Di Guangzhou, pegawai-pegawai berkata, sekurang-kurangnya tujuh daerah menggumumkan akan menarik balik sekatan ketat  yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI