PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kuasa bukan satu keistimewaan sebaliknya tanggungjawab yang harus dipikul dengan amanah.
Beliau melalui satu hantaran di Facebooknya berkata, individu berkuasa juga perlu mempunyai prinsip yang jelas dalam mengangkat martabat hidup rakyat.
“Seperti yang sering saya bicarakan bahawa kuasa bukan keistimewaan sebaliknya tanggungjawab berat yang mesti dipikul dengan amanah dan prinsip yang jelas dalam mengangkat martabat hidup rakyat.
“Negara ini mesti dipacu ke tahap yang lebih baik, dan Malaysia mesti menjadi tatanan contoh tidak hanya di rantau ini tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya di sini hari ini.
Dalam hantaran itu juga, beliau berterima kasih atas semangat warga Tambun yang menyambut kehadirannya di daerah itu pada petang tadi selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
“Saya ke Pasar Tanjung Rambutan ketemu warga Tambun seusai sesi menghadap Sultan Perak di Istana Kinta.
“Saya hargai semangat rakyat yang hadir dari pelbagai lapisan kaum, dan tentunya harapan dan aspirasi mereka tidak mungkin saya kecewakan,” ujarnya.
Terdahulu, Anwar dijangka mengumumkan senarai barisan Kabinet kerajaan perpaduan pimpinannya pada pukul 8.15 malam ini. – KOSMO! ONLINE