fbpx

Kredibiliti Elli dalam pengacaraan bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELLI abaikan stigma masyarakat yang menganggap pengetahuan perempuan dalam bola sepak tidak sebagus lelaki.

BOLA sepak merupakan satu sukan yang lebih sinonim dengan lelaki. Tidak ramai wanita di luar sana yang menggemari sukan ini, tetapi tidak bagi Elli Famira Azisman.

Wanita yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menjadikan sukan bola sepak sebagai hobi dan kini turut menjadi pengacara bagi rancangan berkaitan bola sepak.

“Saya mula menceburi bidang pengacaraan ini sejak Jun 2021 di mana ketika itu sekadar menjadi tetamu jemputan untuk menemu ramah salah seorang pemain bola sepak bagi program Man on The Street yang disiarkan di Astro Supersports.

“Selang sehari selepas itu, saya mendapat panggilan yang bertanyakan adakah saya berminat untuk bekerja dengan saluran Astro Supersports dan Arena,” katanya kepada Aura.

Tambah Elli, pada ketika itu, dia yang merupakan eksekutif undang-undang di sebuah syarikat penerbangan memang bercadang untuk perlahan-lahan meninggalkan bidang perundangan yang diceburinya sebelum ini dan cuba mengorak langkah dalam industri sukan. Namun, pada mulanya Elli tidak terfikir untuk muncul di kaca televisyen sebaliknya lebih pada bahagian pengurusan atau di belakang tabir sukan.

Setelah berbincang dengan ibu bapanya, mereka memberi keizinan untuknya mencuba dan dia menerima tawaran tersebut.

Setelah minggu kedua menceburi bidang itu, dia telah sibuk dengan kejohanan Euro 2020 dan diminta untuk berbicara dalam rancangan praperlawanan di Astro Arena membabitkan perlawanan antara Perancis dan Denmark.

Elli menggalas tanggungjawab yang diberikan itu dan dia melakukan serba sedikit kajian berkaitan perlawanan tersebut.

Sejurus berakhirnya kejohanan itu, dia ditugaskan untuk menjadi pengacara bersama bagi rancangan perbincangan bola sepak yang disiarkan di Astro Arena.

Kini, dia sudah bersama dengan rancangan tersebut untuk musim kedua dan dalam masa sama sibuk dengan rancangan berkaitan Piala Dunia 2022.

Elli mengakui dia berhadapan cabaran tersendiri apabila menjadi pengacara terutama berkaitan sukan bola sepak yang dimonopoli oleh lelaki.

“Saya sudah biasa dengan stigma perempuan tidak mempunyai pemahaman bola sepak sebagus lelaki sejak saya kecil lagi.

“Sedangkan, saya juga kerap bermain bola sepak dengan rakan-rakan dan aktif mengambil bahagian dalam liga bola sepak sosial dan sebagainya.

ELLi memang meminati sukan bola sepak dan sering mengambil bahagian dalam liga bola sepak sosial.

“Mujurlah saya dibesarkan dalam persekitaran yang positif yang membentuk jati diri biarpun ada orang di luar sana yang mahu mempersoalkan kredibiliti seorang wanita dalam aspek pemahaman sukan didominasi lelaki ini,” jelasnya.

Elli langsung tidak pernah ambil kisah jika ada orang yang mempersoalkan hal tersebut dan dia sentiasa mengalu-alukan mereka untuk bertukar pendapat dengannya terutama dalam kalangan pengikut rancangan bola sepak di Astro.

Menyentuh mengenai idolanya, Elli mengakui turut mempunyai idola dalam bidang pengacaraan sukan iaitu Alex Scott dan Laura Woods.

“Alex bekas pemain bola sepak wanita England dan Arsenal yang bermain dalam posisi kegemaran saya iaitu pertahanan kanan atau right back. Dia merupakan seorang pundit bola sepak wanita pertama untuk agensi BBC di Piala Dunia Rusia 2018.

“Cara beliau menganalisis perlawanan, tahap ketenangan beliau apabila ditekan dengan soalan-soalan panas oleh pundit lelaki amat baik dan saya boleh belajar daripada memerhati cara beliau bekerja sendiri.

“Laura pula pengacara yang saya minat kerana pada pandangan saya dia berkeyakinan dan tidak emosi. Cara beliau mengartikulasikan penilaian bola sepak cukup mengagumkan,” katanya.

Sementara itu, sempena Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar, Elli memberitahu dia memberi sokongan kepada pasukan Brazil.

Ini kerana Elli merasakan Brazil mempunyai barisan pemain yang berbakat dan kesemua pemain yang diterbangkan ke Qatar sedang beraksi dengan sangat baik dan mereka menjadi tunjang utama bagi kelab masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI