PUTRAJAYA – Jawatan timbalan menteri bagi Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diumumkan kelak selepas semua menteri mengangkat sumpah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Anwar berkata, beliau juga akan mengadakan pertemuan khas dengan anggota Kabinet yang dilantik supaya beberapa peraturan dan hala tuju serta kaedah baharu dapat diperkenalkan.
Susulan itu, kesemua menteri yang dilantik dijangka mengangkat sumpah di Istana Negara pada pukul 3 petang esok.
Sementara itu, Anwar berkata, dalam jemaah menteri, petunjuk prestasi utama (KPI) mengutamakan soal tata kelola dan isu yang boleh atau harus diambil bagi meringankan beban rakyat selain memberi fokus kepada pemacuan ekonomi.
“Penjimatan sebenar sekiranya dapat elak pembaziran mengurangkan perbelanjaan sia-sia, seperti saya sebut ia satu permulaan jemaah menteri kerajaan perpaduan dengan kekuatan penjawat awam diketuai Ketua Setiausaha Negara akan memastikan jaminan ini dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan sebanyak 28 kementerian bakal menjadi tunggak kepada kerajaan pimpinannya selain turut dibantu oleh dua Timbalan Perdana Menteri – KOSMO! ONLINE