KUALA LUMPUR – Masalah bekalan telur ayam yang meruncing sejak dua bulan lalu bukan sahaja menekan pemborong mahupun peniaga tetapi pengguna apabila mereka terpaksa berebut bagi mendapatkan bekalan bahan mentah berkenaan.
Hal itu berikutan tindakan peniaga yang mengehadkan pembelian telur kepada pelanggan selain ada antara mereka yang menutup premis gara-gara tiada bekalan.
Seorang peniaga di pasar Chow Kit, Anggi Afiriatama, berkata, bekalan telur ayam yang diperoleh daripada pembekal sekitar 2,000 papan sehari dan kesemuanya habis dalam masa kurang satu jam.
“Ketika ini mahu simpan stok pun susah sekarang, dapat saja (stok) terus habis. Jumlah stok yang dihantar tidak menentu malah ada hari, langsung tiada bekalan,” katanya.
Peniaga nasi lemak, Nora Abu Bakar Sidek, berkata, masalah telur yang berlarutan menyebabkan keuntungannya menjadi kecil berikutan terpaksa membeli bahan mentah berkenaan dengan harga yang mahal.
Berita berkaitan: Telur disorok, anak ayam dibakar
“Apabila telur naik harga, sudah tentu kos nasi lemak saya tinggi. Susahlah kalau lama-lama macam ini,” ujarnya.
Katanya, sebelum ini dia membeli sepapan telur ayam pada harga RM10.50 bagi gred E, namun sekarang sudah RM12 sepapan.
Berita berkaitan: Tahun depan pun belum tentu ada telur
Sementara itu, Maznah Mat Zaini, 62, terpaksa mengharungi perjalanan sejauh lima kilometer dari Setapak bagi membeli telur untuk kegunaan keluarganya.
“Telur dikawasan saya memang susah jadi terpaksa ke Chow Kit, memang tidak dinafikan juga telur ketika ini memang mahal berbanding sebelum ini.
“Harap pihak bertanggungjawab pantau harga ini kerana ia menjadi semakin tidak terkawal, rakyat tengah susah,” katanya.