fbpx

28 kementerian jadi tunggak Kerajaan Perpaduan Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar menunjukkan senarai barisan kabinet pada sidang akhbar pengumuman kabinet di pejabatnya Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Debaran dirasai rakyat sejak seminggu lalu mengenai siapakah bakal membarisi Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya terjawab malam ini selepas sebanyak 28 kementerian diumumkan bagi menyokong kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Senarai barisan Kabinet itu diumumkan Anwar di Pejabat Perdana Menteri kira-kira pukul 8.15 malam sejurus beliau tiba dari Perak selepas menghadiri kenduri bersama rakyat di Parlimen Tambun petang tadi.

Menurut Anwar, beliau akan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri selain turut memegang portfolio Menteri Kewangan kali ini.

“Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof pula akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Selain itu, kedua-dua mereka juga masing-masing akan memegang jawatan sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Menteri Perladangan dan Komoditi,” katanya ketika mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri di sini tadi.

Selain itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, manakala Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bakal memegang portfolio sebagai Menteri Pertahanan.

Selain itu, Anwar turut melantik tiga nama yang tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membarisi barisan Kabinet pimpinannya berdasarkan kepakaran dimiliki individu terbabit.

Antara individu yang dilantik termasuklah bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Abdul Aziz yang akan memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selain Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

Turut dilantik ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang akan memegang jawatan sebagai Menteri Luar Negeri.

Seorang lagi nama yang akan dilantik sebagai Senator bagi memegang jawatan Menteri Agama ialah Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Sementara itu, urusan Kementerian Kewangan juga akan dibantu oleh beberapa penasihat yang tidak akan mengambil upah diketuai oleh Penasihat Petronas, Tan Sri Hassan Marican.

Anwar berkata, Kabinet jemaah menteri adalah kerajaan perpaduan, maka ada beberapa prinsip diterima pakai merangkumi semua kekutan induk parti iaitu Pakatan Harapan yang mempunyai jumlah undi terbanyak dan ahli Parlimen terbesar.

Katanya, ia diikuti BN dan GPS yang mana ketiga-tiga tonggak parti ini sepakat bukan saja membentuk jemaah menteri tetapi membentuk dasar utama dalam soal tadbir urus baik dan keutamaan memacu pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan beban rakyat daripada segi kos sara hidup.

“Kesepakatan ini melebarkan jaringan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan barisan barisan akur yang sedia ada ini bermakna kekuatan kerajaan perapduan dalam Parlimen sudah mencecah sekitar dua pertiga.

“Jadi dengan mandat ini, ia telah memberi keyakinan kita untuk membentuk barisan jemaah lebih padu dan bekerja sebagai satu pasukan dan menumpu pemerhatian dalam soal pemacuan pertumbuhan ekonomi yang segar dan menumpukan pemerhatian permasalahan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI