KUALA LUMPUR – Atas inisiatif berhibur sambil beramal, penganjur Konsert Padi Reborn 25, Qew Communications Sdn. Bhd. berhasrat menderma sebahagian daripada hasil penjualan tiket kepada persatuan bukan kerajaan kanak-kanak asnaf.
Menurut Pengarahnya, Datin Rahizahwati Yahya, niat murni tersebut mula tercetus selepas melihat sambutan hangat daripada peminat setia Padi di sini.
“Kami ingin berkongsi berita baik iaitu tiket Konsert Padi Reborn pada Sabtu ini habis terjual.
“Jadi, kami berhasrat untuk melakukan amal dengan menderma sebahagian wang jualan tiket kepada persatuan Asnaf.
“Setiap RM1 daripada penjualan tiket tersebut akan kami salurkan kepada rumah kebajikan terbabit,” katanya pada sidang akhbar Konsert Padi Reborn 25 di sini hari ini.
Dalam pada itu, vokalis Padi Reborn, Fadly melahirkan rasa terharu apabila konsert mereka menjadi platform untuk mereka melakukan amal kepada golongan memerlukan.
“Saya seronok mendengar khabar baik ini iaitu penganjur menyalurkan sebahagian kutipan tiket kepada persatuan Asnaf.
“Tentunya perkara ini membuatkan kami lebih seronok untuk menghiburkan peminat setia, Sobat Padi pada Sabtu (3 Disember) nanti,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Padi Reborn juga tidak sabar untuk menghiburkan peminat mereka di Malaysia selepas kali terakhir mengadakan konsert pada tahun 2018.
“Kami juga akan mendendangkan lebih banyak lagu berbanding konsert yang berlangsung lima tahun lalu.
“Pastinya akan ada kejutan daripada kami pada konsert itu nanti,” jelasnya.
Selain itu, acara yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur (KL) itu turut membawa Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid sebagai penampilan istimewa. – KOSMO! ONLINE