fbpx

Tiga warga Bangladesh dalang sindiket pemalsuan dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan dirampas daripada tiga suspek warga Bangladesh berhubung kegiatan pemalsuan permit kerja.

SHAH ALAM – Kegiatan pemalsuan permit kerja didalangi tiga warga Bangladesh sejak sebulan lalu terbongkar selepas ditahan polis dalam dua serbuan berasingan sekitar daerah ini.

Dua daripada suspek ditahan kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin di sebuah rumah di Kampung Baru Hicom dan seorang lagi sekitar daerah ini pukul 10 malam tadi. Kesemua suspek berusia 20 hingga 30-an.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, berdasarkan siasatan mendapati kumpulan suspek itu mengedar serta menjual permit palsu kepada warga senegara mereka pada harga murah dan cepat.

Katanya, siasatan mendapati satu-satu permit itu dijual pada harga RM200.

“Hasil siasatan juga mendapati dua daripada suspek bekerja sebagai pekerja pembersihan di sekitar Glenmarie di sini.

“Seorang lagi merupakan buruh dan mempunyai hubungan saudara dengan salah seorang lagi suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil serbuan dan tangkapan berjaya merampas peralatan digunakan untuk tujuan mengeluarkan permit kerja yang dipercayai palsu iaitu masing-masing sebuah komputer riba dan mesin cetak.

Tambah Mohd. Iqbal, turut dirampas adalah tiga pasport, 10 keping pas lawatan kerja sementara dan lima telefon bimbit.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai telah berada di negara ini sejak tiga tahun lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan polis.

“Dua suspek yang bekerja pembersihan itu direman selama empat hari manakala permohonan reman seorang lagi suspek dilakukan hari ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI