PETALING JAYA – Tabung kecemasan bagi mengumpul sumbangan buat pelakon Nad Zainal yang dilancarkan sejak tiga hari lalu berjaya mengutip hampir RM70,000 setakat hari ini.
Tujuan kutipan dana itu dibuat adalah untuki menampung kos rawatan Nad sejak dia dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di ibu negara lebih seminggu lalu.
“Kami sangat terharu atas sokongan dan kemurahan hati rakyat Malaysia yang bersama-sama menyertai rakan-rakan artis dalam usaha mengurangkan beban keluarga Nad.
“Sebenarnya, kami tak sangka dapat kutipan sebanyak ini. Kalau boleh kami menyasarkan sebanyak RM200,000 termasuk kos selepas Nad keluar hospital kelak,” kata penerbit dan pengarah drama popular, Shahrulezad Mohammeddin kepada Kosmo!.
Shahrulezad bagaimanapun tidak memerincikan jumlah keseluruhan bil rawatan Nad setakat ini, namun memaklumkan satu suntikan steroid paling tinggi yang diterima adalah RM15,000.
Bercerita lanjut, Shahrulezad berkata, pelancaran tabung kecemasan itu merupakan inisiatifnya bersama pelakon Sherry Al Hadad dan Ungku Ismail memandangkan bil rawatan yang makin meningkat biarpun pelakon itu mempunyai kad perubatan.
“Setakat ini hospital masih belum meminta bayaran, cuma kami buat persediaan awal. Saya harap ramai yang terus menderma untuk membantu Nad sekeluarganya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Pertubuhan Kebajikan As Siddiq bernombor 8604978484 dan e-mel [email protected] untuk bukti sumbangan.
Selain tabung berkenaan, pengacara Aznil Nawawi turut melakukan inisiatif sama menerusi akaun Instagramnya.
Nad dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri pada minggu lalu akibat pendarahan paru-paru sehingga terpaksa ditidurkan. Pemilik nama lengkap Farah Nadia Zainal Abidin itu bagaimanapun menunjukkan perkembangan positif apabila dos ubat tidur sudah dikurangkan.
Nad juga sudah mula membuka mata tetapi tidak disarankan berbual kerana memerlukan banyak rehat. Doktor dijangka menanggalkan alat bantuan pernafasan kerana paru-paru Nad juga sudah semakin kuat.