SHAH ALAM – Kerajaan negeri mengesan permohonan palsu dalam mendapatkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja, V. Ganabatirau berkata, ini termasuk pemohon tidak tinggal di lokaliti dalam borang permohonan tersebut bagi mendapatkan bantuan RM3,600 setahun.
Katanya, Bingkas diwujudkan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup golongan terkesan terutama berpendapatan rendah.
“Saya sendiri dapati ada (pemohon) tidak duduki rumah tersebut itu dan bagaimana hendak luluskan.
“Justeru itu, saya telah mensyaratkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memainkan peranan utama yang sangat penting dalam siasat dokumen-dokumen dan lawat rumah ini,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Azmizam Zaman Huri (PH- Pelabuhan Klang) berhubung tindakan terhadap laman sesawang membuat borang palsu bantuan kerajaan negeri termasuk Bingkas yang dikatakan lulus dalam tempoh 24 jam.
Ganabatirau yang merupakan ADUN Kota Kemuning menegaskan setakat ini hasil mesyuarat bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mendapati tiada laporan berhubung borang palsu itu.
Jelas beliau, berdasarkan syarat Bingkas adalah pemohon adalah warga negara, lahir atau menetap lebih 10 tahun di Selangor, pemilih berdaftar di Selangor dan berpendapatan isi rumah RM3,000 sebulan dan ke bawah.
“Setakat 30 September lalu, seramai 21,110 orang telah menerima Bingkas,” katanya. – KOSMO! ONLINE