ROMPIN – Selepas sekian lama tidak sehaluan dalam politik, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman melakar sejarah baharu apabila buat kali pertama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berada di pentas yang sama.
Dalam ceramah umum di pekarangan Pasar Besar Rompin malam tadi menyaksikan kehadiran tiga tokoh utama politik BN dan PH iaitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mohamad Sabu atau Mat Sabu berkata, meskipun ceramah sudah menjadi kelaziman dalam hidupnya, namun perasaan berdebar terasa apabila buat pertama kali berada sepentas bersama pemimpin UMNO yang sebelum ini sering dikritiknya.
“Sebelum datang ke sini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden UMNO) mereka tanya saya, Bang Mat kami nak dengar macam mana Bang Mat nak ceramah depan UMNO.
“44 tahun Bang Mat hentam kami macam mana nak ceramah ni, saya pun kata ‘where do I begin’ di mana nak bermula,” katanya yang disambut dengan gelak ketawa hadirin yang hadir pada ceramah umum di pekarangan Pasar Besar Rompin di sini malam tadi.
Menurut Mohamad Sabu, kerjasama BN dan PH dalam PRU15 DUN Tioman amat bermakna dalam permulaan kerjasama membina Malaysia Baharu yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, kerjasama yang dilakukan buat kali pertama itu adalah demi kestabilan dan kemakmuran negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat sebagai satu keutamaan.
“Hadirin sekalian kita dalam politik kita boleh berubah kawan, rakan tetapi tidak ubah matlamat dan dasar.
“Ini yang kita pegang sebab itulah bila Menteri Besar Pahang mengatakan tujuan memerintah memberi kestabilan dan kemamkumran rakyat itulah paling diutamakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE