fbpx

Piala Dunia: Sepanyol buru status juara kumpulan, sedia benam Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPANYOL memerlukan kemenangan ke atas Jepun untuk memastikan mereka bukan sahaja layak, tetapi muncul juara kumpulan. – AFP

DOHA – Pemain pertahanan Sepanyol, Dani Carvajal menggesa rakan sepasukan supaya turun dengan sasaran tiga mata menje­lang aksi terakhir peringkat Kumpulan E menentang Jepun di Stadium Khalifa awal pagi esok.

Skuad La Roja pastinya menggalas misi wajib menang ke atas wakil Asia itu bagi memastikan mereka dapat melayakkan diri ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan dan mendapat undian lebih mudah.

Bagaimanapun, dia tetap memberi amaran kepada pemain-pemain Sepanyol supaya tidak memandang rendah ke­upayaan yang dimiliki tuan rumah Piala Dunia 2002 itu kerana sudah mengejutkan Jerman sebelum ini.

“Jika kami menang ke atas Jepun pada perlawanan itu nanti, kami akan tamatkan aksi peringkat kumpulan sebagai juara. Oleh itu, perlawanan tersebut sangat penting untuk kedua-dua pasukan.

“Apa yang saya harapkan adalah semua pemain masuk ke padang dan bermain seperti biasa. Kami perlu pastikan Sepanyol melangkah ke pusingan kalah mati nanti dengan momentum yang cukup baik,” kata pemain Real Madrid itu.

Untuk rekod, sekiranya Sepanyol dan Jepun berkongsi satu mata pada perlawanan tersebut, manakala Costa Rica menewaskan Jerman, skuad kendalian Luis Enrique itu akan mara ke pusingan seterusnya sebagai naib juara.

Justeru, penyerang Sepanyol, Alvaro Morata senada dengan Carvajal apabila menyifatkan pertemuan dengan Jepun adalah perlawanan wajib menang untuk muncul juara kumpulan walaupun rumit berdasarkan kepantasan serta taktikal yang dimiliki skuad Samurai Biru itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI