DOHA – Ketua Jurulatih Senegal, Aliou Cisse mengingatkan barisan pemainnya supaya berwaspada selepas berjaya melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 sebagai naib juara Kumpulan A.
Pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Ecuador di Stadium Khalifa kelmarin, juara Piala Negara-Negara Afrika itu memastikan kemenangan 2-1 menerusi jaringan Ismaila Sarr dan Kalidou Koulibaly, manakala gol Ecuador dijaringkan Moises Caicedo.
Menerusi undian yang dibuat, Senegal dijadualkan bertemu England pada pusingan kalah mati nanti dan Cisse menggesa pemain-pemainnya agar menampilkan aksi lebih baik pada perlawanan itu nanti.
“Pusingan kalah mati akan menjadi episod baharu untuk kami kerana ia sangat berbeza jika dibandingkan dengan aksi di peringkat kumpulan. Ia pasti akan jadi satu perlawanan yang sangat sukar.
“Semua pasukan yang melayakkan diri ke pusingan tersebut adalah pasukan-pasukan terbaik dunia, jadi kami perlu bersedia sepenuhnya kerana tidak ada peluang kedua sekiranya kalah,” katanya.
Sementara itu, Koulibaly percaya pasukan-pasukan lain perlu menghormati skuad Teranga Lions selepas mereka menunjukkan apa yang mampu dilakukan Senegal dalam saingan peringkat kumpulan.
“Selepas ini, kami perlu fokus untuk kekal cergas dan buktikan kenapa kami adalah juara Afrika. Saya yakin pasukan-pasukan lain juga gentar selepas melihat apa yang mampu kami lakukan,” ujar pemain Chelsea itu. – AGENSI