DOHA – Skuad Belgium menafikan terdapat pertelingkahan besar berlaku di bilik persalinan pasukan itu ketika ini dalam usaha melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik menjelang aksi terakhir peringkat Kumpulan F Piala Dunia 2022 menentang Croatia malam ini.
Difahamkan, skuad The Red Devils yang menduduki ranking No. 2 dunia telah dikritik hebat susulan kekalahan mengejut 0-2 kepada wakil benua Afrika, Maghribi minggu lalu.
Kekalahan tersebut menyaksikan ada beberapa pemain telah mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai rakan-rakan yang mempamerkan aksi tidak bermaya ekoran faktor usia.
Namun, penjaga gol utama Belgium, Thibaut Courtois mendakwa sebarang spekulasi mengenai perpecahan dalam kalangan pemain adalah tidak benar dan isu tersebut sengaja dibesarkan bagi memberi aura negatif dalam bilik persalinan mereka.
“Apa yang didakwa oleh pihak media adalah tidak benar dan situasi yang dihadapi oleh pasukan ketika ini cukup positif kerana kami menang bersama dan jika kalah juga ia dipikul bersama.
“Semua pemain sudah faham dengan peranan masing-masing dan kita juga sudah meluahkan pendapat antara satu sama lain. Kini, fokus seterusnya adalah aksi bertemu Croatia kerana semua sedar hanya kemenangan boleh membawa pasukan mara,” katanya.
Pandangan sama disuarakan oleh kapten Belgium, Eden Hazard yang menafikan tiada insiden pergaduhan berlaku dalam bilik persalinan sebaliknya hanya perbincangan secara aman dalam kalangan pemain.
“Kita telah berbincang hampir satu jam selepas tewas kepada Maghribi dan saya harap rakan-rakan sepasukan belajar daripada kesilapan lepas sekali gus berikan aksi seratus peratus ketika bertemu Croatia nanti,” katanya. – AGENSI