SEREMBAN – Golongan pesakit HIV dan Aids dinasihatkan untuk tampil mendapatkan rawatan saringan dan pengesanan awal bagi memastikan penyakit dihadapi mereka itu tidak terus menular.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Norhayati Rusli berkata, pihaknya sentiasa mencuba mengubah rasa malu pesakit untuk mendapatkan rawatan saringan awal berkenaan.
“Pengesanan awal ini penting kepada mereka yang berisiko jangkitan HIV ini, tetapi saya juga berharap mereka (pesakit) akan tampil ke hadapan untuk membuat saringan supaya kami dapat mengesan, melaksanakan rawatan awal dan mereka dapat hidup seperti biasa.
“Jadi, jangan malu-malu, kami mahu mereka tampil ke hadapan kerana kami sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik buat rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.
Hari Aids Sedunia disambut pada 1 Disember setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan HIV dan langkah pencegahan serta kawalannya.
Norhayati sementara itu, dalam ucapannya menjelaskan, jangkitan baharu HIV dan Aids di negara ini secara amnya telah mencatatkan penurunan sebanyak 70 peratus dalam tempoh 20 tahun.
“Kadar penurunan kes HIV dan peningkatan liputan rawatan ini bagaimanapun masih belum mencukupi untuk negara membendung Aids sehingga ia tidak lagi menjadi isu kesihatan awam menjelang tahun 2030,” katanya. – KOSMO! ONLINE