fbpx

MYAirline sasar penerbangan antarabangsa pada suku pertama 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat MYAirline memulakan operasi hari ini dengan tiga laluan pertama dari KLIA2 ke Langkawi, Kedah; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.- Foto FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) baharu, MYAirline Sdn. Bhd. menyasarkan untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan bagi laluan antarabangsa bermula pada suku pertama tahun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo berkata, MYAirline meninjau untuk melebarkan sayap ke pasaran serantau membabitkan Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Jika semuanya berjalan lancar, kami berharap dapat menyasarkan penerbangan antarabangsa pertama pada penghujung suku pertama tahun hadapan.

“Ia sedikit rumit dari segi mendapatkan kelulusan kerana kita perlu mempunyai perbincangan dengan lebih daripada satu negara,” katanya kepada pemberita selepas perasmian penerbangan sulung MYAirline ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Selain Langkawi, syarikat berkenaan turut melancarkan laluan pertamanya ke Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Rayner, penerbangan ke Kota Kinabalu mencatatkan faktor muatan penumpang melebihi 80 peratus sekali gus menunjukkan permintaan yang menggalakkan untuk perjalanan.

“Kami teruja kerana telah mendarat di Kuching, Kota Kinabalu serta Langkawi hari ini dan mengukuhkan kehadiran rasmi sebagai sebuah syarikat penerbangan.

“Sejak pengumuman laluan kami dibuat, sambutan dilihat amat menggalakkan dan dengan perjalanan udara yang semakin meningkat tahun ini, kami berharap dapat meningkatkan bilangan pelancong melalui laluan baharu dan kekerapan penerbangan tambahan,” ujarnya.

Rayner berkata, syarikat berkenaan juga akan menawarkan penerbangan domestik ke destinasi lain selepas ini seperti Pulau Pinang, Kota Bharu dan Sibu selepas mendapat kelulusan dari pengawal selia, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan MYAirline Sdn. Bhd. bersedia untuk memulakan operasi tiga laluan pertamanya bermula dengan penerbangan dari terminal KLIA2 ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu pada tambang bermula serendah RM48.

Tambang untuk destinasi di Malaysia Timur pula merangkumi Kuching dan Kota Kinabalu masing-masing dari RM68 dan RM88.

Ketika ini, MYAirline mempunyai hampir 500 pekerja termasuk kira-kira 60 juruterbang.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI