KUALA LUMPUR – Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) menerima 30 alat peranti terjemahan bahasa, Pocketalk, daripada rakan kongsi digitalnya, Trambellir Sdn. Bhd. bagi memudahkan komunikasi dengan pesakit antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Daud Mohd. Arif, berkata, ia merupakan sebahagian usaha MHTC untuk mengukuhkan ekosistem penjagaan kesihatan bersama-sama pihak berkepentingan bagi menumpukan perhatian kepada pesakit-pesakit ini.
“Ini merupakan satu langkah ke hadapan bagi membolehkan pelancong perubatan menikmati kemudahan komunikasi yang dipertingkatkan menerusi pelbagai ‘touchpoint’ dalam ekosistem, terutamanya dalam persekitaran hospital.
“Dengan peningkatan kemudahan komunikasi ini, kami pasti ramai pelancong perubatan sama ada dari pasaran sedia ada atau baharu akan datang ke sini bagi mengalami pengalaman pelancongan kesihatan terbaik.
“Secara tidak langsung, ia akan memberi Malaysia kelebihan daripada segi kelebihan daya saing, peneraju dalam pasaran serta peluang untuk menguasai pasaran baharu,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Pelancaran Pocketalk di sini hari ini.
Tambah Mohd, Daud, MHTC tidak menyediakan sebarang servis perubatan, namun menjadi penghubung utama antara rakan hospital dan syarikat persendirian dalam melengkapkan ekosistem perubatan di negara ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata antara inisiatif MHTC untuk menggalakkan digitalisasi, adalah dengan memperkenalkan pembayaran secara elektronik (e-pay) dan perkhidmatan konsultasi atas talian (e-consultation) pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Trambellir Sdn. Bhd., So Iizuka, berkata, perbezaan bahasa telah menjadi halangan besar oleh pelancong perubatan sekali gus membantutkan kelancaran mereka dalam mendapatkan servis perubatan di Malaysia.
“Kami percaya peranti Pocketalk akan menjadi alat terbaik untuk menangani masalah pesakit dalam menghadapi cabaran perbezaan bahasa dan meningkatkan pengalaman keseluruhan mereka di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Peranti Pocketalk yang menterjemah sehingga 75 bahasa dan dialek akan digunakan di beberapa ‘touchpoint’ di seluruh ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia, termasuk Malaysia Healthcare Concierge and Lounge di lapangan terbang antarabangsa utama.
Penyerahan peranti itu dirasmikan oleh Mohd Daud bersama So Iizuka dan Pengarah Urusan dan Ketua Pejabat Operasi Pocketalk Corporation, Tsutomu Ishiyama, serta disaksikan oleh rakan-rakan hospital MHTC.
Pocketalk Corporation merupakan perisian, perkakasan dan IoT dari Jepun, bekerjasama dengan Trambellir Sdn. Bhd., dalam menyediakan alat peranti Pocketalk bagi mengatasi perbezaan bahasa antara hospital dan pelancong perubatan di Malaysia. – KOSMO! ONLINE