SKUAD hoki kebangsaan menunjukkan semangat juang tinggi ketika bangkit mencatat kemenangan 3-2 ke atas Kanada pada aksi Kumpulan B Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Potchefstroom, Afrika Selatan kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Malaysian Tigers memperoleh tiga jaringan menerusi Muhammad Firhan Ashaari serta dua gol Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, manakala gol Kanada dijaringkan Sean Davis dan Gordon Johnston.
Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj memuji aksi yang ditampilkan barisan pemainnya apabila langsung tidak berputus asa walaupun dua kali ketinggalan pada perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, beliau percaya, masih banyak perlu diperbaiki pemain-pemain negara menjelang perlawanan penting menentang Jepun hari ini yang bakal menentukan sama ada Malaysia layak ke separuh akhir ataupun tidak.
“Hari ini (kelmarin) kita ketinggalan sebanyak dua kali, tetapi pemain-pemain menunjukkan semangat juang tinggi dan bangkit memenangi perlawanan. Saya bangga dengan semangat yang ditunjukkan.
“Walaupun gembira dengan kemenangan ini, namun dari segi pertahanan serta tempo permainan masih belum memuaskan. Sudah tentu kami perlu bekerja keras bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Malaysia pastinya mahu memahat nama sebagai antara pasukan yang melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, lebih-lebih lagi kejohanan tersebut adalah julung kalinya diadakan dan dijadikan sebagai medan kelayakan ke Liga Pro FIH.
Sekiranya berjaya menundukkan Jepun pada pertemuan hari ini, pasukan negara akan mengikut jejak langkah Korea Selatan yang sudah menempah tempat lebih awal di separuh akhir selepas menewaskan Jepun kelmarin.